NASIONAL

Remaja perempuan antara tiga kes baharu difteria di Johor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 MAC: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dikesan antara mangsa terbaharu difteria di Johor Bahru, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, remaja itu juga di antara tiga lagi kes terbaharu difteria di negeri itu setakat semalam, membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat tahun.

“Kanak-kanak perempuan berkenaan adalah kakak kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat diifteria pada 23 Februari lalu dan semua mereka dijangkiti tinggal di rumah yang sama.

“Semua kes sudah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil, sementara satu kes dibenarkan pulang ke rumah manakala dua lagi kes masih dirawat di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan difteria.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, lapan lagi individu yang tidak mempunyai gejala difteria yang tinggal serumah dengan mangsa kematian turut diberi rawatan antibiotik sebagai profilaksis (pencegahan).

“Keadaan kesihatan mereka dipantau secara harian oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru selama 14 hari. Tiada kes baharu dilaporkan dan kejadian adalah terkawal.

“Susulan kejadian wabak difteria di Johor ini, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menegaskan kepentingan pemberian imunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual ditetapkan KKM dan bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, perkhidmatan imunisasi boleh didapati daripada fasiliti kesihatan terdekat.


Pengarang :