PBTSELANGOR

RGG19: MDM & MDKL komited pertingkat kerjasama

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

MARANG, 27 MAC: Kunjungan istimewa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) ke Majlis Daerah Marang (MDM) dalam menjalin kerjasama mempergiat promosi Retromania Grand Gathering 2019 (RGG19) diharap terus dipertingkatkan, pada masa akan datang.

Yang Dipertua MDM, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu, pihaknya komited menjayakan apa jua bentuk program yang mampu memberi kesan positif terhadap kedua-dua pihak.

Katanya, hubungan erat antara kedua-dua PBT itu disifatkan wajar terutama dalam memartabat dan membangunkan industri pelancongan yang tersedia.

“Misalnya, acara RGG19 yang dipromosi MDKL ini mampu menarik minat kumpulan permotoran yang ramai dianggotai anak muda pada masa sekarang.

“Justeru, kami cuba memenuhi jemputan RGG19 dan akan menunjukkan ukhwah yang ada boleh dirapatkan melalui jemputan seumpama ini.

“Kami akan ke Kuala Langat untuk melawat daerah itu selain meneroka apa yang terdapat di sana,” katanya ketika ditemui selepas sesi penyerahan bahan promosi RGG19 sempena Jelajah Semenanjung Malaysia MDKL, di Bilik Mesyuarat MDM, di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, MDKL juga boleh menggalas peranan sama dengan mempromosi daerah Marang yang diakui terkenal dengan destinasi pelancongan bagi menarik pengunjung tempatan mahupun luar negeri.

Terdahulu, penyerahan bahan promosi berbentuk sijil dan plak itu diserahkan Yang Dipertua (YDP) MDKL, Mohd Zain A Hamid kepada beliau.

Antara bahan promosi lain turut diserahkan ialah cakera padat (CD), poster, flyer dan bunting sebagai saluran hebahan kepada umum.

Turut hadir, Penolong Jurutera Kanan MDM merangkap Presiden MDM Bikers Motor Club, Mohd Saffian Draman.

 


Pengarang :