PBTSELANGOR

RGG’19: Perjalanan 1,800 km melabuhkan tirai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

IPOH, 29 MAC: Konvoi Jelajah Semenanjung Malaysia sempena mempromosi Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19) menutup tirainya hari ini dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi persinggahan terakhir dilawati 30 penunggang motosikal berkuasa besar.

Dua kelab motosikal MBI iaitu N’Force Bikers Club dan Kelab Motosikal Cukai Taksir (KMCT) mengiringi peserta konvoi berkenaan ke perkarangan majlis bandaraya berkenaan.

Ketibaan rombongan diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Zain A Hamid di salah sebuah negeri tersohor dengan ‘nasi ganja’ itu, kira-kira jam 10 pagi.

Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria berkata, pihaknya menyambut baik kunjungan konvoi MDKL ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sebagai usaha menjalin hubungan dua hala antara kedua-dua pihak, khususnya dalam memeriahkan RGG’19 tidak lama lagi.

Katanya, kesempatan itu turut digunakan sebaiknya untuk berkongsi pandangan antara satu sama lain bagi meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing.

“Inisiatif digunakan kelab motosikal berkuasa besar dari MDKL seharusnya dipuji kerana di situ akan menghimpunkan kesemua peminat motosikal dari seluruh negara.

“Malah, saya percaya program seumpama ini akan mewujudkan hubungan baik secara berterusan bukan sahaja di MBI, tetapi bersama beberapa PBT lain dari seluruh negeri.

“Menjadi harapan kami supaya program itu nanti menerima penyertaan dan sambutan menggalakkan, seterusnya berjalan lancar seperti yang sudah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi penyerahan bahan promosi RGG’19, di perkarangan MBI, di sini, hari ini.

Terdahulu, Zakuan menerima bahan promosi berbentuk sijil, plak, cakera padat (CD), poster dan gegantung daripada Mohd Zain sebagai medium promosi menarik lebih ramai penyertaan dalam kalangan masyarakat, khasnya di Perak.

Pada masa sama, Zakuan berkata, pihaknya juga dalam perancangan mengadakan perjumpaan di PBT Selangor untuk turut menganjurkan konvoi bersama penunggang motosikal.

Katanya, satu daripada program konvoi MBI sudah diselaraskan secara bersama dengan PBT lain di seluruh Malaysia.

“Saya percaya pihak kami dapat menyelarasian satu program bersekali dengan PBT yang ada dan kita akan bergerak mengelilingi Malaysia dari utara hingga ke selatan,” katanya.


Pengarang :