EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan penyusutan harga minyak, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.0650/0750 daripada paras penutup 4.0600/0650 pada Jumaat.

Menurut peniaga, pelabur kini menumpukan kepada bekalan minyak mentah global, ketika isyarat pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum yang membantu mengawal bekalan berlebihan di pasaran.

“Prestasi ringgit amat bergantung kepada kestabilan harga minyak,” katanya, lapor BERNAMA.

Pada masa ini, penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent adalah pada US$66.22 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.7018/7120 daripada 3.6735/6784, berkurangan berbanding euro kepada 4.5898/6015 daripada 4.5882/5959 pada Jumaat dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3601/3753 daripada 5.3178/3260.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0044/0123 daripada 3.0047/0096.


Pengarang :