SELANGOR

RM30,000 dana zakat wakalah manfaatkan 200 gelandangan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 23 MAC: Pengeluar gula, Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) menyerahkan bantuan RM30,000 dana zakat wakalahnya kepada 200 gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hishammudin Hassan berkata, sumbangan itu sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat sebagai menyumbang balik kepada masyarakat.

Katanya, CSR sentiasa prihatin kepada keperluan dan masalah komuniti terutama berhubung isu gelandangan.

“Aspirasi kami sentiasa mencari ruang melakukan perubahan kepada komuniti sekeliling, sama ada besar atau kecil sumbangannya.

“Kami juga akan bekerjasama dengan pusat latihan tempatan bertauliah bagi membolehkan penghuni PTGKL mempelajari kemahiran teknikal, sekali gus menambah kualiti diri mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Kasih Gelandangan di PTGKL di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, program seperti itu tidak boleh dijalankan sekali, perlu dilaksanakan dengan jangka masa lebih panjang.

Sumbangan yang diberikan berbentuk makanan, kelengkapan peribadi dan barangan keperluan asas.

Pada program terbabit turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma oleh Rumah Anak Yatim Kasih Harmoni, Paya Jaras.

Program itu adalah kerjasama bersama Yayasan Islam Darul Ehsan dan Lembaga Zakat Selangor.


Pengarang :