SELANGOR

RMS cemar duli sertai kayuhan amal, kutip lebih RM700,000

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 17 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mencemar duli menyertai program kayuhan amal Mahabbah Cycling 2019, anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), semalam.

Baginda bersama peserta terdiri dari anggota kelab berbasikal dan orang awam berkayuh sejauh 12 kilometer, kira-kira pukul 9 pagi bermula dari Masjid Al-Islah, Kampung Sementa di sini.

Baginda turut berkenan menyambaikan bantuan perubatan dan barangan keperluan harian sumbangan dari LZS kepada dua keluarga asnaf, di Klang.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Bakhtiar Hussin berkata, sejumlah RM742,000 dana berjaya dikumpul bagi membantu pesakit buah pinggang melalui program itu.

Katanya, program kayuhan sejauh 12 kilometer itu diadakan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada Mac setiap tahun.

“Kayuhan amal berkenaan turut berjaya menarik 500 penyertaan termasuk peserta dalam kalangan pesakit buah pinggang.

“Objektif program ini ialah untuk mengumpul dana bagi membiayai pembelian mesin hemodialisis yang baru di Pusat Hemodialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang sering mengalami kerosakan.

“Kesemua dana itu hasil sumbangan LZS dan syarikat korporat,” katanya.

Bakhtiar berkata, sebanyak 48 mesin hemodialisis dan empat buah mesin air suling sedia ada di enam cawangan Pusat Dialisis MAIS perlu ditukar kerana digunakan lebih 10 tahun.

“Kesemua mesin itu mampu dimanfaat sehingga 270 pesakit keseluruhannya dan penukaran mesin itu mampu mempertingkatkan proses rawatan kepada para pesakit buah pinggang,” katanya.

Hadir menyertai program berkenaan, Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.

 


Pengarang :