BERITA UTAMASELANGOR

Rodziah edar 1,500 mawar sempena Hari Wanita Sedunia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 MAC: Sejumlah 1,500 kuntum bunga mawar diedarkan secara percuma kepada wanita di Dewan Undangan Negeri Batu Tiga sempena Hari Wanita Sedunia.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program berkenaan diadakan dikebanyakkan lokasi kawasan DUN itu antaranya Padang Jawa, Seksyen 18, Taman Batu Tiga termasuk sekolah, klinik dan hospital.

“Bunga ini diedar sebagai menghargai wanita di negeri sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap tahun pada hari ini.

“Wanita perlu diberi penghargaan dan merasai jati diri supaya meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui di Hospital KPJ, di sini.

Sempena dengan tema ‘balance for better’, Rodziah yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, berkata, wanita perlu mengimbangi diri dan kehidupan seharian supaya tidak ketinggalan dalam arus peredaran masa.

Katanya, selaku EXCO usahawan, beliau melihat kepayahan wanita membantu dan menyara kehidupan dengan berniaga dalam meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

“Saya berharap wanita Selangor belajar dan berjaya mengimbangi kehidupan mereka dalam konteks cabaran pekerjaan serta aspek rumah tangga supaya kesinambungan kehidupan berjalan lebih lancar dan sejahtera.

“Manakala, kaum lelaki pula perlu memberi ruang dan peluang serta membantu wanita dalam apa juga pekerjaan yang mereka lakukan,” katanya.

Terdahulu, Rodziah turut berkesempatan mengedarkan bunga mawar kepada kakitangan wanita di Bangunan SUK, di sini.


Pengarang :