BERITA UTAMASELANGOR

Rumah Idaman unik untuk rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari akan melancarkan program rumah yang unik untuk dinikmati golongan B40 dan M40 pada awal April ini.

Usaha kerajaan negeri ini dijayakan oleh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad bagi menyelesaikan pemilikan kediaman khususnya buat rakyat Selangor.

Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminudin berkata pihaknya mencari kaedah terbaik membantu pembeli rumah yang tidak mampu dan juga harga rumah yang tinggi di pasaran.

“Oleh itu, Rumah Idaman Rakyat Selangor (Idaman) dibina. Ia adalah perkongsian pintar antara kerajaan dan swasta menggunakan teknologi berinovasi tinggi dan kerjasama erat bersama institusi kewangan.

“Rumah Idaman ini menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000,” katanya kepada SelangorKini.

Setiap unit Rumah Idaman dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Projek ini akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.

Majlis pelancaran program kediaman istimewa itu akan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar di Kajang 2, Mukim Bandar Batu 18, Semenyih pada 6 April ini.

Di majlis itu, orang ramai yang hadir berpeluang menjadi salah seorang daripada 2,059 pemilik unit Rumah Idaman dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi 011-60611484 atau emel [email protected].

Syarat pembelian tertakluk kepada kelayakan yang ditetapkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) seperti pautan http://ehartanah.lphs.gov.my/lphs/index.php?opt=others_faq.


Pengarang :