SELANGOR

Rumah SelangorKu di PJS 4 bakal siap menjelang September 2020

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Rumah SelangorKu di PJS 4, Taman Medan bakal siap sepenuhnya menjelang September tahun depan, kata EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Beliau berkata, projek dimajukan Tetuan Tact Mission Sdn Bhd itu berjalan lancar dan status kerja di tapak didapati teratur seperti dirancang.

“Berdasarkan laporan tapak dikemukakan pemaju, kerja pembinaan secara keseluruhan sudah mencapai 46 peratus siap.

“Kerajaan Negeri melalui LPHS (Lembaga Perumahan Hartanah Selangor) amat yakin akan sasaran siap pembinaan dengan memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan pada September 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Firdaus Mohamed Supri berhubung status projek rumah mampu milik di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menjawab pertanyaan adakah rakyat di Taman Medan diberi keutamaan untuk memiliki kediaman itu, Haniza berkata, kelayakan permohonan adalah tertakluk kepada syarat Penawaran Terbuka.

Malah, katanya, faktor keutamaan pemilikan itu tidak semestinya diberikan kepada penduduk di kawasan Taman Medan sebaliknya perlu megikuti syarat Penawaran Terbuka seperti sudah ditetapkan.

Katanya, antara syarat Penawaran Terbuka adalah pemohon dalam kalangan Warganegara Malaysia; berumur 18 tahun dan ke atas; pendapatan sehingga RM10,000 sebulan dan tidak mempunyai sebarang jenis rumah kediaman di Selangor.

Selain itu, katanya, antara syarat lain pula adalah pemohon yang sudah memiliki rumah kos rendah (Jenis A) selama lima tahun ke atas boleh memohon Rumah Selangorku Jenis B, C dan D dengan syarat mengemukakan surat permohonan bersama salinan Perjanjian Jual-Beli dan pemilikan rumah bukan berdasarkan isi rumah tetapi berdasarkan individu.

Manakala, beliau berkata, antara syarat lain adalah permohonan pindah milik hanya dibenarkan selepas lima tahun dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri dan pemohon perlu berdaftar di atas talian laman sesawang LPHS.


Pengarang :