SELANGOR

Sabak Bernam sambut baik inisiatif masyarakat tanpa tunai

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 18 MAC: Lebih 100 akaun baharu dibuka menerusi aplikasi e-wallet, Boost pada Karnival Jelajah 360 Smart Selangor yang diadakan di Stadium Sungai Besar, di sini, semalam.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, sambutan menggalakkan penduduk kawasan itu membuktikan rakyat Selangor bersedia ke arah masyarakat tanpa tunai.

Katanya, penerimaan rakyat di kawasan luar bandar membuktikan mereka peka inisiatif yang diusahakan kerajaan.

“Pembayaran E-Wallet ini sebagai contoh, kita ingat agak sukar dilaksanakan di sini namun, jangkaan itu meleset dan saya sendiri terkejut dengan penerimaan yang ditunjukkan.

“Walaupun moden tetapi ia digunakan secara menyeluruh dan diterima oleh penduduk di sini,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui pada karnival itu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri berusaha menjadikan rakyat Selangor sebagai masyarakat pintar meliputi semua aspek kehidupan termasuk membabitkan kemudahan berbelanja.

E-walet, Boost boleh dimuat naik di ‘Play Store’ dengan menawarkan kemudahan e-wallet bersama deposit maksimum RM250 dan RM1,500.

Bagaimanapun tiada hak minima dikenakan untuk pengguna memasukkan nilai wang di dalam e-wallet ini.


Pengarang :