SELANGOR

SACC Walk Flea Market, lubuk barangan “vintage”

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: SACC Walk Flea Market bakal menjadi salah satu lokasi tumpuan, di Shah Alam apabila turut mengetengahkan lubuk jualan barangan “vintage”, khas kepada pengumpul koleksi berkenaan.

Mula beroperasi dari 6 petang hingga 12 tengah malam pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, ia bukan sahaja menjadi syurga barangan antik tetapi turut menyediakan jualan makanan kendera saji dibawakan khas oleh Tapak Urban Street Dining.

Pemangku Pengurus Pusat PKNS Real Estate Sdn Bhd (PKNS PREC), Syahril Mohd Rashid berkata, pihaknya berusaha menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan terutama Bumiputera tidak mempunyai modal untuk menyewa tapak jualan di luar.

“Oleh itu, PKNS PREC bertanggungjawab membantu mereka melebarkan sayap bagi menjana pendapatan sendiri, sekali gus membantu ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya bakal menambah baik suasana di kawasan itu dengan menganjurkan pertandingan kereta mini Tamiya 4WD, gusti lengan, pertandingan karaoke dan pertandingan makan.

Selain itu, katanya, turut diadakan persembahan buskers, aktiviti pelukis jalanan, ‘sand art’, persembahan badut dan pemberian gula-gula kapas percuma.

“PKNS PREC kini sedang mengorak langkah mewujudkan kerjasama dengan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Selangor bagi membuka peluang dan menambah lagi jumlah peniaga di SACC Walk Flea Market,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan cadangan berkenaan SACC Walk Flea Market, sila hubungi Nashriq di talian 012-6290992.


Pengarang :