RENCANA

Sambal goreng budu dapat sambutan luar jangkaan

TANAH MERAH, 14 MAC: Kreativiti Norhafizah Mohd Azmi, 34, yang mentransformasikan budu yang biasanya dicicah dengan ulam-ulaman dan ikar bakar, kepada sambal goreng budu yang enak dan mudah dimakan di mana sahaja, membuahkan hasil apabila produknya itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

Pengusaha Sambal Budu Goreng REMOKA itu berkata beliau cuba ‘lari’ daripada citarasa asli masyarakat pantai timur yang kebanyakannya gemar makanan manis kepada citarasa orang utara yang menggabungkan rasa pedas dan masin serta sedikit masam serta manis.

Katanya beliau mendapat inspirasi dan tunjuk ajar daripada ibunya Wan Rahimah Wan Musa, 56, yang gemar memasak makanan enak untuk mereka sekeluarga termasuk sambal goreng budu resipi asli keluarganya itu.

“Empat tahun lepas ketika saya baru lepas pantang melahirkan anak ketiga, ibu sajikan lauk sambal budu istimewa resipi keluarga kepada suami yang pulang makan tengah hari…tiba-tiba dia (suami) kata sedap dan berpotensi untuk dikomersialkan lalu kami akhirnya bersetuju untuk mencuba,” katanya kepada Bernama.

Norhafizah berkata untuk percubaan, beliau menggunakan satu kilogram (kg) ikan selayang dan bahan lain termasuk budu dan bawang merah yang ada di dapur ibunya, air tangan sulungnya itu kemudian diberikan kepada jiran untuk merasa dan gembira apabila mereka menyukainya.

Daripada situ, beliau meningkatkan pengeluaran kepada 5kg, 10kg dan setelah tiga tahun, beliau menambah pengeluaran sehingga 120kg ikan sehari, katanya yang kini berhenti kerja sebagai ejen insurans untuk menumpukan sepenuh perhatian membangunkan syarikat REMOKA (Resepi Mok Kawe).

“Saya memulakan perusahaan kecil dengan modal RM300 untuk membeli ikan dan bahan mentah lain serta bekas untuk memasarkan produk berkenaan…akhirnya kini saya mampu menyewa sebuah kedai di kawasan perindustrian kecil di Kampung Jelatek,” katanya.

Anak jati Kampung Belimbing, Tanah Merah itu berkata, pada peringkat awal, beliau agak ragu-ragu untuk menceburkan diri dalam perusahaan sambal goreng budu ini, namun berkat usaha dan keyakinan diri, beliau berjaya dalam masa enam bulan sahaja tanpa mendapat bimbingan atau bantuan modal daripada mana-mana pihak.

Norhafizah yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya Mohd Zaim Yunus, 33, berkata bagi menghasilkan sambal goreng budu yang berkualiti, beliau memastikan bahan mentah yang digunakan terbaik selain cara memasak yang memakan masa agak lama.

“Saya menggunakan budu berwarna hitam yang dihasilkan sebuah syarikat pengeluar budu dari Terengganu. Isi ikan pula perlu disangai lebih 10 jam sehingga berderai sebelum digaulkan bersama bawang merah goreng, cili api hijau dan budu, kesemua bahan itu kemudian dimasak dua jam lagi.

“Proses masakan yang lama dapat mengekalkan aroma serta ketahanan sambal lebih lama,” katanya dan menambah sambal goreng budu REMOKA disediakan dalam dua perasa iaitu sederhana pedas dan pedas yang boleh dinikmati bersama roti, ketupat palas dan pulut.

Beliau berkata keunikan rasa sambal goreng budu itu diterima semua lapisan masyarakat di seluruh negara termasuk mereka yang tidak menggemari budu sebelum ini, justeru beliau kini berbangga apabila permintaan terhadap produknya semakin meningkat termasuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

“Saya dibantu empat pekerja yang boleh menghasilkan kira-kira dua tan sambal goreng budu sebulan dan kebanyakan tempahan diambil melalui dalam talian dan ejen,” katanya yang mampu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan. — BERNAMA


Pengarang :