SELANGOR

Sambutan lebih positif lima hari terakhir kempen PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 1 MAC: Pecutan akhir Pakatan Harapan (PAKATAN) pada lima hari terakhir kempen menerima sambutan positif daripada pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, prestasi cemerlang Kerajaan Negeri dan pelancaran Agenda Aiman merupakan faktor yang berjaya mendorong keyakinan pengundi.

“Rekod yang kita dapat juga menunjukkan penerimaan sangat positif terhadap prestasi Kerajaan Negeri dan rakyat semakin faham terhadap isu berbangkit berkenaan Kerajaan Persekutuan.

“Bagaimanapun saya juga yakin PRK ini sangat bergantung dengan peratusan keluar mengundi dan juga kepantasan dan kecekapan jentera kita esok,” katanya.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Laluan Baru KJ04 dan KJ05 di Kompleks Perhentian Kajang di sini, hari ini.

Katanya, pengundi pada PRK Semenyih perlu memilih calon PAKATAN bagi memastikan kelancaran setiap kemudahan disalurkan Kerajaan Negeri.

“Kepada pengundi di Semenyih, harapan besar saya supaya meneruskan sokongan yang diberikan pada pilihan raya lalu seperti mana pesanan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), kita sebagai kerajaan mahu wakil kerajaan yang kuat untuk lebih mempermudah serta memperkemas perkhidmatan, kemajuan yang dirancang di setiap lokaliti dan daerah.

“Saya yakin kita akan dapat merancak dan membangunkan setiap penjuru untuk memastikan nasib rakyat di Selangor dan Semenyih khasnya dapat dijaga,” katanya.


Pengarang :