Sasar futsal Selangor julang Piala Juara Asia menjelang 2020 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Norway

Wartawan

Nadiah Zamlus

Sasar futsal Selangor julang Piala Juara Asia menjelang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 MAC: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memasang tekad untuk membawa pasukan futsal negeri ke Piala Juara-Juara Asia menjelang 2020.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, justeru itu, pihaknya akan merealisasikan hasrat berkenaan menerusi pengurusan pasukan yang lebih teratur.


Katanya, FAS juga sedang dalam usaha untuk mendapatkan Perlesenan Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat sukan futsal, tahun ini.

“Lesen ini sebagai langkah memastikan pengurusan futsal mencapai piawaian antarabangsa sekali gus membolehkan Selangor beraksi di peringkat kejohanan Juara-Juara Asia 2020,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kontrak Pasukan Futsal Selangor bertempat di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Pada acara itu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan kontrak kepada 25 ahli Pasukan Futsal Lelaki Selangor dan 18 ahli Pasukan Futsal Wanita.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan dan Presiden Kelab Futsal M.A.C merangkap Pengurus Pasukan Futsal Lelaki Selangor, Mimi Afzan Afza.

Johan berkata, beliau yakin futsal Selangor bakal menempa nama apabila MPSJ bersama Kelab Futsal M.A.C sudi memberi kerjasama bagi memantapkan lagi sukan berkenaan.

Katanya, persetujuan untuk menjalinkan kerjasama itu selari dengan prinsip Tengku Amir Shah selaku Presiden FAS.

“Baginda percaya bahawa pembangunan bola sepak di Selangor bukan tanggungjawab FAS sahaja tetapi sepatutnya menjadi tanggungjawab semua peminat dan pengamal tegar sukan futsal demi memartabatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Pembabitan FAS di dalam kejohanan liga futsal anjuran FAM pada tahun ini turut meningkatkan jumlah pasukan di bawah pengelolaan iaitu pasukan bola sepak utama, presiden, belia, bawah 17 tahun, bola sepak wanita, futsal lelaki dan futsal wanita.

“Ini adalah jumlah yang sangat besar untuk sebuah pengurusan yang sedang menjalankan usaha transformasi yang lain dan kami akui kerjasama ini mempunyai cabaran tersendiri dari masa ke semasa,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next