Selangorkini
SELANGOR

Selangor bantu keluarga warga Shah Alam mangsa keganasan di Christchurch

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri akan menghulurkan bantuan kepada keluarga seorang warga Shah Alam yang tercedera dalam insiden tembakan pengganas di Christchurch, New Zealand baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, mangsa terbabit, Mohd Nazri Hisham Omar, ketika ini sedang dirawat di sebuah hospital di sana.

“Saya juga nak maklumkan kita dapat maklumat daripada Wisma Putra ada seorang warga Shah Alam, walaupun kad pengenalannya orang Kelantan tetapi bermastautin di Shah Alam dan mengundi di Kota Anggerik.

“Saudara kita, Mohd Nazri Hisham Omar telah tercedera ketika kejadian itu berlaku dan Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk membantu membiaya keluarga beliau melawat beliau yang sedang dirawat di New Zealand,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mengulas pendirian DNS, Amirudin berkata, DNS sebelum ini sebulat suara mengambil pendirian mengutuk kejadian terbabit.

Katanya, semua pihak harus menjauhi fahaman ekstrimis dalam semua perkara kerana mampu memberi kesan buruk dalam masyarakat.


Pengarang :