SELANGOR

Selangor bukti pentadbiran cemerlang PAKATAN – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 MAC: Selangor terus cemerlang diterajui Pakatan Harapan (PAKATAN) menjadi bukti kewibawaan parti itu dalam memimpin negeri berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, justeru amat wajar sekiranya pengundi Semenyih untuk terus menyokong kecemerlangan dikecapi selama ini.

“Maka, dengan tekad meneruskan kecemerlangan Selangor, saya menyeru semua pengundi Semenyih untuk mengundi calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali.

“Bermula 2008 sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM3 bilion bagi menjamin kesejahteraan warga Selangor menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat.

“Program seperti Rumah SelangorKu, air percuma dan Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) adalah sebahagian tanda kepedulian Kerajaan Negeri terhadap semua,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut berusaha membangunkan aspek fizikal dan juga rohani rakyat, termasuk membelanjakan RM470 juta untuk pembangunan institusi berkaitan agama Islam.

“Terkini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM25 juta untuk penyediaan latihan kemahiran agar anak muda mempunyai lebih peluang mendapatkan pekerjaan.

“Ini kerana anak muda adalah golongan yang kita takkan tinggalkan, isu yang sering melanda mereka seperti kos sara hidup dan isu pekerjaan sentiasa be, rada dalam perhatian,” katanya.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih berlangsung hari ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali dan tiga calon lain, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) serta Kuan Chee Heng (Bebas).

 


Pengarang :