SELANGOR

Selangor catat nilai pelaburan tertinggi dalam sejarah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Amirudin Shari mengumumkan Negeri Selangor menempa sejarah baharu apabila merekodkan nilai pelaburan tertinggi sejak 30 tahun lalu berjumlah RM24.8 bilion bagi 2018 menerusi sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Dato’ Menteri Besar berkata, jumlah nilai pelaburan diluluskan bagi sektor perkilangan berjumlah RM18.947 bilion, peningkatatan 238 peratus berbanding RM5.529 bilion pada 2017.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan pula menyaksikan Selangor cemerlang merekodkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia sebanyak RM5.784 bilion berbanding RM4.5 bilion pada 2017.

“Daripada statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2018, sebanyak 241 projek perkilangan diluluskan bagi tahun lalu berbanding 202 projek pada 2017.

“Jumlah projek diluluskan ini adalah tertinggi bagi tahun lalu berbanding negeri lain dengan peningkatan sebanyak 19 peratus dari segi bilangan projek.

“Produk berasaskan logam menjadi penyumbang terbesar bagi sektor industri dengan RM6.892 bilion diikuti kertas, percetakan dan penerbitan (RM5.1 bilion), produk berasaskan getah (RM1.29 bilion), pengilangan makanan (RM835 juta) serta produk plastik,” katanya dalam sidang media khas di Lobi Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sebelum ini, Selangor pernah mencatatkan jumlah nilai pelaburan sektor perkilangan tertinggi sekitar RM11 bilion pada 2011.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) menunjukkan peningkatan sebanyak 400.7 peratus berbanding tahun sebelumnya apabila Selangor menerima RM10.837 bilion berbanding RM2.164 bilion pada 2017.

Bagi Pelaburan Tempatan (DDI), berlaku peningkatan ketara sebanyak 136 peratus dengan sumbangan pelabur tempatan sebanyak RM8.11 bilion pada tahun lalu berbanding RM3.427 bilion.

“Faktor peningkatan FDI disebabkan kemudahan logistik yang ada di Selangor seperti pelabuhan dan lapangan terbang,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan bekerja keras bagi mencapai sasaran pelaburan RM10 bilion pada 2019 dan percaya perkembangan positif ekonomi semasa akan membantu merealisasikan hasrat berkenaan.


Pengarang :