SELANGOR

Selangor jadi Negeri Tamu di PBAKL 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 30 MAC : Kerajaan Selangor buat pertama kali menjadi Negeri Tamu pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL 2019), bermula hari ini hingga 7 April depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia sekali gus akan membuka ruang buat 1.5 juta pengunjung PBAKL 2019 untuk lebih mengenali Selangor.

“Melalui Pavilion Negeri Tamu kali ini, Selangor memperkenalkan produk terkini termasuk perumahan, teknologi serta beberapa penerbitan ilmiah yang diusahakan Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai supaya berkunjunglah ke Pavilion Selangor dan manfaatkan segala maklumat yang disediakan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pavilion Selangor Negeri Tamu ketika PBAKL2019 bertempat di Putra World Trade Centre, hari ini.

Pavilion Selangor yang terletak di Aras 2 boleh dikunjungi orang ramai secara percuma, tambah menarik apabila pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk kuiz dan ruang riadah untuk membaca.

Amirudin turut mengucapkan syabas kepada semua agensi yang terbabit dalam menjayakan Pavilion Selangor.

Katanya, mereka termasuk Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Tourism Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings Berhad, Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) SUK Selangor.

“Syabas juga kepada Kementerian Pendidikan melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia(MBKM) serta jawatankuasa penganjur PBAKL.

“Tidak ketinggalan agensi kerajaan, pihak swasta, wartawan media cetak dan elektronik, penerbit dan pembekal buku dan kepada setiap individu yang terbabit di dalam menjayakan PBAKL2019 ini,” katanya.


Pengarang :