SELANGOR

Selangor kedua terbaik pengekalan Hutan Simpanan Kekal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor berjaya mencapai pengekalan Hutan Simpanan Kekal (HSK) kedua tertinggi, di Malaysia sepanjang tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejayaan itu dicapai melalui Dasar Moratorium ke atas aktiviti pembalakan (pengeluaran) diamalkan Kerajaan Negeri, dalam kawasan HSK selama 25 tahun berkuat kuasa, pada 2010 hingga 2035.

“Sehingga 30 Jun 2017, keluasan HSK di Selangor adalah seluas lebih kurang 250,209 hektar dengan anggaran lebih kurang 31 peratus daripada keluasan negeri.

“Kerajaan Negeri komited meningkatkan jumlah keluasan HSK menjelang 2020 sehingga melebihi 250,500 hektar atau 31.6 peratus berbanding keluasan tanah Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di Bilik MTES, di bangunan SUK, semalam.

Berdasarkan perkembangan positif itu, katanya, HSK perlu diuruskan secara mampan bagi menjamin kelestariannya yang berkekalan.

“HSK adalah aset dan khazanah yang bernilai kerana mampu menyumbangkan hasil dan faedah hutan secara berterusan kepada rakyat juga negeri,” katanya.

Untuk rekod, HSK meliputi Hutan Darat Asli, Hutan Paya Gambut dan Hutan Paya Laut.


Pengarang :