SUKANKINI

Selangor mahu bangkit bertemu Kuala Lumpur

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Selangor mengakui kesilapan mudah yang dilakukan terutama pada dua daripada empat gol diperoleh Johor Darul Ta’zim (JDT) memberikan kerugian besar dalam misi memburu kemenangan pertama musim ini.

Jurulatihnya, B Sathianathan berkata, pasukkanya harus menerima pujian apabila bangkit untuk merapatkan kedudukan di saat ketinggalan namun terpaksa akur tewas 2-4 di laman sendiri.

“Kita menentang pasukan yang kuat dan lengkap tetapi pemain juga memberikan gol mudah kepada JDT.

“Kita juga berjaya kembali merapatkan kedudukan daripada 1-2 kepada 2-3 pada penghujung babak pertama.

“Kredit juga perlu diberikan kepada pemain saya yang berusaha sehingga akhir permainan.

“Kita kalah dengan pasukan lebih baik sementara kita juga kurang bernasib baik,” katanya dalam sidang media di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata, JDT sendiri mempunyai kelebihan individu dalam kalangan pemain yang memberikan ancaman kepada pasukannya terutama dalam merencana gerakan memburu jaringan.

Katanya, prestasi ditunjukkan pemain juga meningkat dan berharap ia akan diteruskan menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur selepas ini.

Menyentuh soal gol mudah dilepaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid, Sathianathan enggan merendahkan moral semua pemainnya tetapi beliau akan menilai semula perancangan selepas ini.

“Kita ada masa tujuh hari sebelum bertemu Kuala Lumpur. Kita akan meningkatkan moral semua pemain.

“Perlawanan ini juga adalah proses pembelajaran buat semua kerana kita juga ada peluang tambahan dua percubaan Selangor terkena palang dan tiang.

“Kita akan lebih bersedia menentang Kuala Lumpur,” katanya.


Pengarang :