SELANGOR

Selangor mahu lupus hutang Pusat dengan penambahbaikan sekolah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Hutang Kerajaan Negeri bernilai RM48 juta kepada Kerajaan Persekutuan boleh dilupuskan dengan kaedah menyalurkannya kepada projek penambahbaikan sekolah di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada masa ini Kerajaan Negeri membayar balik kira-kira RM6 juta hingga RM7 juta setahun kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kita sedang memohon bagi Kerajaan Negeri untuk melupuskan hutang di mana ia tak banyak, setiap tahun kita bayar sekitar RM6 juta ke RM7 juta setahun sebagaimana kebenaran diberikan kepada Kerajaan Sarawak di mana mereka dibenarkan menggunakan wang membayar hutang untuk membaiki sekolah.

“Sebenarnya kita mempunyai senarai panjang sekolah yang memerlukan penambahbaikan, pengubahsuaian atau meningkatkan keselesaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, sekiranya permohonan itu diluluskan, Kerajaan Negeri dapat menyalurkan wang terbabit untuk membaiki atau membesarkan sekolah sama ada pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan.

Amirudin berkata, langkah itu mampu memberi suasana lebih selesa dan selamat kepada warga pendidik dan pelajar di Selangor.


Pengarang :