BERITA UTAMASELANGOR

Selangor Maritime Gateway semarak ekonomi maritim

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Usaha pemuliharaan Sungai Klang menerusi projek ‘Selangor Maritime Gateway’ (SMG) dijangkakan menyemarakkan ekonomi negeri pada jangka masa panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), YM Raja Shareen Raja Othman berkata, pihaknya mengenal pasti lokasi berasaskan transit sepanjang sungai itu dalam usaha pemuliharaan dan pembangunan.

“Sungai Klang akan dijadikan sumber ekonomi baharu menerusi projek SMG.

“Kita berharap dengan usaha ini, Kerajaan Negeri menyemarakkan ekonomi negeri jangka masa panjang menerusi ekonomi maritim,” katanya dalam temubual Sinar Live ‘Selangor Menuju Negeri Lestari’, di Facebook, semalam.

Raja Shareen berkata, SMG menjadikan konsep penjanaan semula bandar membabitkan industri perhotelan, perdagangan, perumahan dan perkhidmatan.

Katanya, projek itu meliputi keluasan kawasan kira-kira 55,612 hektar sepanjang pesisir Sungai Klang.

“Usaha penyelenggaraan dan membersih Sungai Klang dilaksanakan sejak 2015.

“Sehingga kini, sebanyak 40,000 tan metrik sisa pepejal dipungut,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bersetuju menerima pakai dan melaksanakan Pelan Induk SMG dan dimasukkan ke dalam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) (Penggantian) 2035.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri bertekad melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi, di bandar sepanjang Sungai Klang dan menjadikan kawasan itu sebagai ‘Smart Central Economic Region’.

Katanya, Kerajaan Negeri turut melantik anak syarikat milik penuh MBI, iaitu Landasan Lumayan Sdn Bhd sebagai pelaksana projek.

“Kerajaan Negeri melihat Sungai Klang sejauh 120 kilometer yang mengalir melalui bandar utama, di Selangor bermula di kawasan Ampang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan seterusnya Bandar DiRaja Klang.

“Ia adalah ‘the engine of growth’ yang bukan sahaja menjadi penyumbang utama ekonomi kepada Negeri Selangor, malahan kepada Malaysia,” katanya.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi negeri, menjangkakan Kerajaan Negeri mampu menjana pendapatan minimum RM10 bilion menerusi usaha pemuliharaan Sungai Klang.


Pengarang :