BERITA UTAMASELANGOR

Selangor Mega Job Fair bantu tingkat sosio ekonomi

OLEH NORHAYATI UMOR

SERDANG, 16 MAC: Penganjuran Selangor Mega Job Fair 2019 diyakini dapat membantu meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi rakyat, di negeri itu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, program itu juga mampu mengurangkan kadar pengangguran, sekali gus membantu memajukan dan melestarikan ekonomi negeri.

Katanya, rakyat Selangor juga akan menjadi lebih progresif, berdaya saing dan produktif seiring hala tuju Kerajaan Negeri, pada masa hadapan.

“Acara kali ini turut membantu syarikat yang memerlukan tenaga kerja khususnya di tahap kritikal dengan mendahulukan pembabitan dalam kalangan warga tempatan.

“Ia merupakan penganjuran terbesar dan bersejarah bagi Selangor tahun ini, oleh itu kita memilih MAEPS sebagai lokasi program kerana lebih kondusif untuk kelancaran sesi temuduga terbuka oleh majikan serta mampu menampung kapasiti pengunjung yang lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Selangor Mega Job Fair 2018, di MAEPS, di sini.

Mohd Khairudin berkata, sebanyak 180 majikan menawarkan lebih dari 11,000 peluang pekerjaan terbuka kepada warganegara Malaysia.

Katanya, sambutan yang diterima kali ini meriah dan membanggakan kerana ia turut didatangi pelajar atau lepasan graduan dari negeri lain.

Selangor Mega Job Fair 2019 merupakan acara tahunan Kerajaan Negeri sejak 2014 bertujuan menyediakan peluang kerjaya kepada masyarakat setempat, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di Selangor khususnya generasi muda.

Untuk rekod, kadar pengangguran Selangor mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia adalah di antara kadar yang terendah di Malaysia iaitu pada kadar 2.8 peratus, pada 2017 berbanding 3.2 peratus, pada 2016.

Antara kelainan yang ditampilkan ialah pembabitan badan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia seperti Tentera Darat Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia , selain memberikan peluang pekerjaan kepada golongan kurang upaya.

Selain itu, jurubahasa isyarat bersama sukarelawan didatangkan khas untuk memberikan keutamaan kepada golongan OKU bagi membantu melancarkan perjalanan program pada hari ini.

Tahun lalu, seramai 3,177 calon iaitu hampir 60 peratus berjaya mendapat tawaran pekerjaan daripada majikan melalui program itu.


Pengarang :