SELANGOR

Selangor tangani isu haiwan ternakan terbiar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Negeri sedang menilai kesesuaian tanah kerajaan baharu yang boleh diwartakan sebagai tanah untuk projek ternakan lembu atau pusat translokasi lembu dan kerbau yang terbiar.

EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan ladang translokasi di Olak Lempit dijangka siap tahun ini.

Katanya, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor dalam proses mewartakan dua kawasan Sungai Gumut, Kalumpang (80 ekar) dan Sungai Gersik, Rasa (100 ekar) bagi tujuan berkenaan.

“Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam juga mengawal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan itu.

“Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga mewujudkan pasukan khas yang bertindak untuk menangkap lembu yang berkeliaran di kawasan awam atau larangan sekiranya terdapat aduan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian di Sidang Dewan Negeri bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Muhgni.

Izham berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengkaji untuk mengenakan denda tinggi kepada penternak yang sengaja membiarkan haiwan ternakan mereka itu berkeliaran.

Katanya, Kerajaan Negeri komited untuk menangani masalah itu secara berperingkat kerana ia membabitkan keselamatan orang awam.

“Kita memang mahu menyelesaikan masalah ini dengan segera namun ada tekanan dan logistik serta tempat.

“Kita tidak mahu ambil tindakan tetapi tiada alternatif lain, ini akan menimbulkan isu yang sukar diselesaikan,” katanya.

Kerajaan Negeri sebelum ini turut memperkasakan Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 (Enakmen Selangor No 3 1971) menyatakan suatu kawasan PBT atau sebahagiannya adalah kawasan larangan bagi haiwan itu.


Pengarang :