NASIONAL

Serantau Muslim seru masyarakat cakna, elak aktiviti musim panas

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 MAC: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) seru masyarakat cakna terhadap saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya menghentikan sementara aktiviti luar kelas ekoran cuaca panas melanda negara sejak akhir ini.

Pengerusi , Dr Raja Ahmad Iskandar Ahmad Yaakob berkata, pihaknya melihat saranan itu penting untuk pelajar, guru, ibu bapa untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya kes strok haba.

“Kami berharap saranan Menteri Pendidikan itu dapat diikuti institusi pengajian tinggi awam dan swasta supaya mereka tidak lagi melakukan aktiviti lapangan secara berlebihan sekali gus kekal sihat serta tidak berlaku dehidrasi.

“Malah, saya berasa kesal terhadap kebanyakan sekolah dan institusi pendidikan kerana mengambil ringan arahan Menteri Pendidikan memandangkan masih banyak sekolah menganjurkan sukan tahunan serta aktiviti kokurikulum pada waktu petang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru, Serantau Muslim berharap orang awam supaya sentiasa cakna terhadap arahan pihak berwajib dan tanda awal strok haba yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, ibu bapa digesa tidak lupa mengingatkan anak mereka mengambil air kosong secukupnya semasa berada di luar rumah sepanjang menjalani aktiviti seharian.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga akhir Mac ini.

Negeri yang mencatatkan rekod bacaan suhu tertinggi adalah Kedah (36°), Perlis (35°), dan diikuti Selangor (34°), Melaka (34°), Johor (34°), Pahang (34°) dan Sabah (34°).


Pengarang :