NASIONAL

Serantau Muslim ucap takziah kepada mangsa Rohingya dipanah petir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 MAC: Serantau Muslim merakamkan ucapan takziah atas kematian seorang lelaki etnik Rohingya yang maut disambar petir, di Shah Alam, petang semalam.

Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, mangsa yang dikenali sebagai Rohimullah, 19, adalah pemilik kad Pesuruhjaya Bangsa Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Katanya, mangsa yang juga individu berstatus pelarian masih mempunyai ibu bapa, di Myanmar.

“Pihak kami akan memberikan sedikit sumbangan kepada keluarga mangsa dan meminta orang ramai supaya mengambil iktibar dengan kejadian ini.

“Kami berharap supaya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga semasa musim yang tidak menentu cuacanya seperti sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, seorang warga Myanmar maut dipanah petir selepas menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak di padang Akademi Badminton Setia Alam, di sini, kira-kira jam 5.05 perang.

Mangsa yang juga penyokong pasukan Rohingya Klang FC (RKFC) disahkan maut di tempat kejadian.

Selain mangsa, seorang lagi penyokong berada dalam keadaan kritikal akibat terkena petir.

Penganjur yang juga pengadil perlawanan, Zainizam Zambri berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit.

 


Pengarang :