BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Sertai Bintang Suara, menangi wang tunai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 MAC: Mereka yang berbakat dan mahu menyerlahkan potensi dalam bidang nyanyian dipelawa menyertai Pertandingan Bintang Suara sempena Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada Sabtu ini.

Bakal berlangsung mulai jam 3 petang di Kompleks Sukan Pandamaran Klang, pertandingan julung kali anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menampilkan tema Wanita dan Keluarga.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, pencarian bintang suara itu dibuka untuk peserta solo atau duet bersama keluarga yang berusia 12 tahun dan ke atas.

Katanya, penyertaan dihadkan kepada 20 peserta terawal sahaja dengan kadar bayaran serendah RM30.

“Kesemua peserta dikehendaki membawakan lagu bertemakan wanita dan keluarga yang memberi mesej serta penceritaan positif.

“Bagaimanapun, penyertaan daripada artis atau yang telah merakamkan suara ke album tidak akan diterima.

“Peserta juga diberi kebenaran untuk menggunakan cakera padat (CD) atau pemacu pena (thumbdrive) sendiri dalam pertandingan ini,” katanya.

 

Johan pertandingan Bintang Suara berpeluang menerima hadiah wang tunai RM500, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM300 serta RM200.

Sementara itu, tempat keempat akan menerima wang tunai RM100 dan tempat kelima hingga 10 turut berpeluang menerima RM50.

Sebarang maklumat lanjut berhubung pertandingan ini boleh hubungi Cik Fara (019-2689274), Mazlah (011-17424501) atau Omar Ahmat (0183745302).


Pengarang :