NASIONAL

Sertai perarakan LGBT melanggari norma undang-undang dan budaya – JAWI

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pengarah, Jabatan Agama Ialam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata, tindakan sesetengah orang Islam menyertai perarakan haram hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) baru-baru ini di ibu negara adalah bertentangan dengan norma undang-undang, ajaran agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, meskipun kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) memberi jaminan kepada setiap rakyat akan kebebasan bersuara tetapi ia tidak bermakna sesiapa terutama orang Islam boleh berbuat apa sahaja untuk melanggar undang-undang dan ajaran agama.

“JAWI mengutuk tindakan beberapa lelaki dan wanita Islam yang menyertai perarakan LGBT itu baru-baru ini, yang mana sesetengah hak yang mereka tuntut semasa perarakan itu bukanlah hak yang sepatutnya mereka perjuangkan (contohnya, bebaskan buah dada saya dan kerja seks adalah satu pekerjaan).

“Memang benar kebebasan berhimpun dan berucap dijamin dalam perlembagaan dan kerajaan sendiri tetapi itu tidak bermakna kita bebas untuk menuntut sesuatu yang jelas bertentangan dengan norma undang-undang, ajaran agama dan budaya kita,” katanya, lapor BERNAMA.

Beliau diminta mengulas mengenai perhimpunan haram LGBT sempena Hari Wanita, Sabtu lalu, yang mana BERNAMA melaporkan semalam bahawa Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis akan memanggil penganjur perarakan itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana menganjurkan perhimpunan tanpa permit.

Mohd Ajib berkata, JAWI komited untuk melaksanakan pelbagai program dakwah yang dibimbing Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendidik mengenai isu LGBT kepada orang ramai termasuk satu program khas yang dibentuk untuk membantu kumpulan LGBT itu sendiri.

“Tahun ini, JAWI mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran mengenai isu LGBT menerusi Kempen Penguatkuasaan dan Kefahaman Undang-Undang Syariah, mengawasi di banyak tempat dan mengedarkan risalah Kesedaran Undang-Undang Syariah dan menyediakan khidmat nasihat dan penjelasan kepada orang ramai agar menjauhi kesalahan jenayah syariah.

“Terkini, JAWI akan melancarkan kempen Santuni Komuniti kali ketiga di Putrajaya, Khamis ini bagi meningkatkan usaha untuk membantu dan menasihat kumpulan LGBT,” katanya.

Beliau berkata, JAWI melaksanakan tiga peringkat pendekatan dan tindakan iaitu menerusi sesi huraian dan penjelasan, campur tangan dan penguatkuasaan jika sekiranya ada yang masih melanggar undang-undang.


Pengarang :