NASIONAL

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat beri keterangan kepada SPRM

KOTA BHARU, 1 MAC: Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Mohd Nasir Daud hari ini hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan.

Mohd Nasir hadir untuk diambil keterangan berhubung dakwaan dana RM90 juta yang diterima PAS daripada UMNO.

Beliau yang berbaju Melayu tiba di pejabat SPRM pada pukul 9.40 pagi dan dilihat keluar dari pejabat itu lebih sejam kemudian, lapor BERNAMA.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu mengesahkan kehadirannya adalah untuk membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan itu.

Mohd Nasir berkata, beliau memberi segala kerjasama kepada dua pegawai SPRM tetapai tiada apa-apa dokumen yang diminta daripadanya.

“Saya telah menjawab segala soalan berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Nasir adalah pemimpin kedua PAS di negeri ini yang dipanggil SPRM untuk memberi keterangan selepas Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, pada 8 Februari lalu.

– BERNAMA

 


Pengarang :