NASIONAL

Silat Cekak Pusaka Hanafi impi ungguli Guinness World Records kali kedua

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 23 MAC: Silat Cekak Pusaka Hanafi berhasrat mengungguli buku rekod dunia, Guinness World Records buat kali kedua pada 2021.

Presiden merangkap Pewaris Mutlak Silat Cekak, Syeikh Dr Md Radzi Hanafi berkata, sasaran kali ini adalah menyasarkan penyertaan seramai 21,000 pesilat bersempena dengan sambutan Perayaan Pusaka 2021.

Katanya, ia bagi mengatasi rekod dicipta pada 2015 bagi kategori ‘Largest Silat Lesson’ dengan penyertaan seramai 2,393 pesilat dari seluruh negara.

“Kejuaraan Wajadiri Pusaka Hanafi peringkat Kebangsaan ini bertujuan mempromosikan kepada masyarakat umum mengenai budaya positif yang terkandung dalam silibus pembelajaran silat.

“Malah, niat utama pesilat dalam mempelajari seni silat haruslah untuk mempertahankan diri serta keluarga bukan bertujuan bermegah serta sombong dengan ilmu yang dipelajari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Kejuaraan Wajadiri Pusaka Hanafi Peringkat Kebangsaan di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, di sini, hari ini.

Penganjuran acara tahunan buat kali ke-23 ini menyaksikan penyertaan seramai 3,000 orang anak muda daripada 90 kontinjen Silat Cekak Pusaka Hanafi yang mewakili institusi pendidikan dari seluruh negara.

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Machang, Kelantan dinobatkan selaku Juara Keseluruhan Utama bagi tahun 2019 seterusnya membawa pulang trofi kejuaraan.

Pada masa sama, mereka turut dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Peringkat IPT dan Juara Keseluruhan Peringkat IPT kategori Wanita.

Manakala, Juara Keseluruhan Peringkat IPT kategori Lelaki disandang oleh Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Usman Awang, Johor pula dinobatkan selaku Juara Keseluruhan Peringkat Sekolah 2019 dan Juara Keseluruhan Peringkat Sekolah kategori Wanita.

Sementara itu, Juara Keseluruhan Peringkat Sekolah kategori Lelaki dimenangi Sekolah Menengah Ugama Arab Al-Ulum, Kelantan.


Pengarang :