SELANGOR

Sindiket tumpas, polis rampas dadah RM1.59 juta

SHAH ALAM, 1 MAC: Polis Selangor melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia serta merampas 12 kilogram (kg) dadah bernilai RM1.59 juta dalam serbuan ke atas sebuah rumah kedai dua tingkat di Brickfields.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, serbuan dilakukan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, susulan risikan pada 27 Februari lalu.

“Premis itu dipercayai dijadikan tempat operasi, simpanan dadah serta tempat tinggal kesemua suspek,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, dadah yang dipercayai jenis syabu ditemukan di dalam enam bungkusan teh cina seberat satu kg masing-masing serta 16 peket mengandungi ‘heroin base’ dengan berat 379 gram setiap satu, dipercayai untuk pasaran tempatan dan mungkin diedarkan di kelab malam.

“Rampasan dadah jenis syabu seberat enam kg itu boleh dibekalkan kepada 12,120 penagih sehari manakala enam kg ‘heroin base’ berkenaan pula boleh menghasilkan 72 kg heroin yang boleh dibekalkan kepada 240,000 penagih sehari.

“Polis turut merampas wang tunai RM50,000 disimpan di rumah kedai terbabit selain menyita tiga kereta jenis Honda Accord, Toyota Vios dan Proton Saga milik suspek,” katanya.

Noor Azam berkata, suspek berumur 38 hingga 55 tahun itu bekerja sebagai jurujual, peniaga dan tukang masak sementara polis sedang menyiasat peranan sebenar lelaki warga Indonesia tersebut.

Katanya, semakan lanjut mendapati tiga suspek warga tempatan itu mempunyai lima rekod jenayah lampau dengan dua orang bersabit kes jenayah manakala seorang lagi mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan tiga kes jenayah.

Beliau berkata, saringan awal ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis syabu dan kesemua kini direman sehingga Rabu depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

 


Pengarang :