Singapura tidak terjejas dengan pencemaran bahan kimia | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Singapura tidak terjejas dengan pencemaran bahan kimia

SINGAPURA, 14 MAC: Agensi Singapura kini berhubungan dengan agensi berkaitan Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berkata mereka sentiasa memantau kejadian tersebut secara dekat.

“Kami faham operasi pembersihan oleh pihak berkuasa Malaysia sedang berjalan. Kawasan terlibat berada di luar kawasan tadahan Sungai Johor dan tidak ada sebarang kesan terhadap bekalan air Singapura,” katanya.


Menurut kenyataan itu, SCDF, NEA dan agensi air PUB tidak mengesan kehadiran bahan asing dalam kualiti air dan udara tempatan.

“Pihak berkuasa Agri-Makanan dan Veterinar (AVA) juga bekerjasama dengan para petani bagi memantau situasi dan tiada bahan asing atau perubahan terhadap ikan yang berlaku di kolam-kolam ikan kita,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menambah, Indeks Piawaian Pencemaran 24 jan (PSI) sejak 6 Mac 2019 berada dalam keadaan baik ke sederhana, sementara bacaan 1-hr PM2.5 masih kekal pada Band 1 (Normal).

“NEA tidak mengesan sebarang kenaikan paras benzene atau lain-lain sebatian Organik Meruap (VOCs) di stesen-stesen pemantauan udara kami.

“Tahap ambien VOC di sepanjang pantai Singapura kekal pada paras selamat. Kualiti air laut di sekitar Pulau Ubin berada pada paras normal,” katanya.

Pihak berkuasa berkata, mereka akan terus memantau situasi ini, dan akan memberikan maklumat terkini jika terdapat perkembangan yang penting.

Sehingga kini, 947 orang awam dirawat di hospital-hospital kerajaan dan swasta dengan sembilan daripada mereka berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next