KUALA LUMPUR, 11 Mac — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Dataran Parlimen hari ini. Ini adalah kali pertama baginda merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pada 15 Januari dan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari lalu. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Sisa kimia: Agong zahir rasa simpati kepada mangsa

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor dan mendoakan mereka kembali pulih.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka memandang serius insiden terbabit dan berharap mangsa yang menjalani rawatan saringan awal di Medic Base, Stadium Tertutup Pasir Gudang berupaya menjalani proses pemeriksaan dengan baik.

“Baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih dan menyokong tindakan segera yang diambil kerajaan negeri dan agensi berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Jabatan Bomba dan Penyelamat serta jabatan lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sultan Abdullah turut memohon rakyat Malaysia mendoakan keadaan pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang tidak akan mengakibatkan keadaan yang lebih memudaratkan kepada penduduk setempat.

Sehingga tengah malam tadi, 65 pesakit baharu dimasukkan ke wad akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, menjadikan jumlah mereka yang masih dirawat di hospital seramai 371 orang.

Setakat 3 petang semalam, seramai 4,035 mangsa menerima rawatan berikutan pencemaran yang berlaku sejak 7 Mac. -BERNAMA


Pengarang :