Sisa kimia: Jawatankuasa khas pantau sampel ikan, kualiti air | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Sisa kimia: Jawatankuasa khas pantau sampel ikan, kualiti air

PUTRAJAYA, 18 MAC: Pejabat Perikanan Negeri Johor (PPN Johor) menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas bagi menyiasat dan memantau sampel dan parameter kualiti air bagi ternakan kupang dan ikan dalam sangkar di sekitar Pasir Gudang susulan pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Ketua Pengarahnya, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, sampel ikan dihantar ke makmal Jabatan Perikanan atau makmal swasta untuk analisis secara terperinci bagi menentukan sama ada sumber ikan di kawasan itu adalah selamat untuk dimakan ataupun sebaliknya.

“Hasil analisa tersebut dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.


Mengenai video ratusan ikan mati kononnya akibat pencemaran sungai di Pasir Gudang yang tular di media sosial, beliau berkata pemantauan di kawasan ternakan ikan dan kupang di kawasan itu mendapati tiada laporan kematian ternakan setakat ini.

“PPN Johor menegaskan bahawa ia adalah berita palsu dan tiada insiden seperti digambarkan dalam video berkenaan berlaku di Sungai Kim-Kim, Kong-Kong atau mana-mana kawasan Pasir Gudang,” katanya.

Munir berkata, sejurus selepas insiden tersebut pada 7 Mac lalu, PPN Johor menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Negeri Johor serta menghantar sampel ikan bagi siasatan kualiti air yang mungkin terkesan daripada sisa buangan Sungai Kim Kim.

“JAS mengambil tindakan segera dengan menghalang aliran bahan kimia menggunakan ‘oil boom’,” katanya.

Menurut Munir, laporan awal dari Jabatan Kimia mendapati sampel air terkesan mengandungi metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, ethyl benzene, aldrich toluene, xylene dan limonene.

Katanya, terdapat lapan pangkalan nelayan berhampiran kawasan pencemaran bahan kimia tersebut melibatkan seramai 342 nelayan dan 181 penternak di sekitar Teluk Kabung dan Kampung Perigi Acheh.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next