NASIONAL

Sisa kimia: UiTM Pasir Gudang henti operasi kampus

SHAH ALAM, 14 MAC: Pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor memutuskan untuk menutup kampus Pasir Gudang dan menangguhkan semua operasi kampus termasuk kuliah selama lima hari bermula semalam susulan insiden pencemaran sisa kimia di daerah itu.

Rektor UiTM Cawangan Johor Prof Madya Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Operasi Bencana Negeri UiTM Cawangan Johor semalam.

“Semua warga kampus dinasihatkan mengambil langkah keselamatan seperti memakai topeng muka, mengurangkan aktiviti luar, menghindari kawasan tercemar, kerap minum air daripada sumber terawat dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami simptom-simptom seperti pedih mata, kesukaran bernafas dan sakit dada,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang di talian 07-3818000 atau Penyelaras Unit Komunikasi Korporat Kampus Pasir Gudang, Siti Mariam Mohammad Illiyas di talian 07-3818134 atau 016-3335364 atau e-mel kepada [email protected].

Kejadian pencemaran sisa toksik yang berlarutan sejak 7 Mac lalu telah menyebabkan lebih 900 orang awam dan pelajar sekolah dirawat di hospital sementara 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta. -BERNAMA


Pengarang :