SELANGOR

Sisa plastik disita akan diserahkan kepada JPSPN

OLEH AFIX REDZUAN

HULU SELANGOR, 14 MAC: Sisa plastik daripada kilang kitar semula yang disita Majlis Daerah Hulu Langat (MDHS) kerana kegagalan mendapatkan kelulusan lesen operasi akan diserahkan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk tindakan lanjut.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, JPSPN mempunyai senarai kilang yang beroperasi mengikut syarat ditetapkan serta peralatan lengkap bagi mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku.

“Kami akan menghubungi JPSPN bagi menentukan lokasi penghantaran sisa plastik ini. JPSPN mempunyai senarai kilang berlesen dan mempunyai peralatan terbaik untuk memproses sisa ini.

“Kita akan maklumkan kepada mereka syarikat ini menyalahgunakan lesen import (AP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyertai Operasi Penyitaan Kilang Kitar Semula Plastik, di kawasan Perindustrian Zuhrah yang diketuai Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin.

Katanya, Kerajaan Negeri berpendirian tegas untuk tidak membenarkan sebarang operasi kilang memproses sisa plastik, di Selangor walaupun berpindah ke kawasan lain termasuk luar bandar.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan berusaha mengesan semua aktiviti memproses sisa plastik secara haram dan menyeru Pihak Berkuasa Tempatan mengambil tindakan tegas sebelum ia menjadi lebih teruk seperti di daerah Hulu Selangor.

Dalam sidang media sama, Sze Han turut memaklumkan satu jawatankuasa tindakan ditubuhkan untuk menangani masalah kilang sisa plastik tanpa lesen, di Selangor yang dipengerusikan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.


Pengarang :