JOHOR BAHRU, 13 Mac — Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian ketika melawat mangsa pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim yang mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor Dr Sahruddin Jamal (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung (dua, kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Situasi pencemaran terkawal, tiada keperluan isytihar darurat

JOHOR BAHRU, 13 MAC: Situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, setakat ini terkawal dan tiada keperluan mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Johor Datuk Osman Sapian berkata, rakyat juga diminta tidak mempercayai dan menyebar maklumat tidak benar yang tular, sebaliknya sentiasa mengikuti informasi betul dari saluran yang benar.

“Melalui jabatan terbabit, ini bukan suatu perkara yang kita boleh anggap darurat. Tidak, jauh daripada itu. Dalam keadaan terkawal,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau juga meminta supaya masyarakat bertenang dan memberi kerjasama penuh serta keyakinan kepada pihak berkuasa untuk mengurus bencana itu dengan cekap, cepat juga selamat.

“Ketika ini, kita tidak perlu menunding jari dan cari salah mana-mana pihak serta cuba bermain politik kerana fokus utama adalah untuk kerja pengawalan pencemaran dan mengurus serta merawat pesakit yang terkesan dengan pencemaran ini,” katanya.

Osman berkata, pelbagai faktor yang menyebabkan insiden itu berlaku, termasuk arah angin dan haba panas selain ia menjejaskan kawasan tertentu sahaja.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja pembersihan, sumbangan kepada mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran terbabit.

Katanya, operasi pembersihan itu turut membabitkan tiga kontraktor dan ia diharap mengambil masa lebih kurang seminggu.

“Kerja pembersihan yang dilakukan itu membabitkan kawasan yang terjejas dengan pencemaran sepanjang 1.5 kilometer,” katanya.

Katanya, kerja pembersihan akan turut mendapatkan bantuan dari Petronas, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Meteorologi serta menggunakan peralatan yang dimiliki mereka bagi memantau tahap juga radius pencemaran. – BERNAMA

Kapsyen foto: Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian ketika melawat mangsa pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim yang mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor Dr Sahruddin Jamal (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung (dua, kanan).
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA


Pengarang :