NASIONAL

SKMM: Henti sebar video serangan Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang awam supaya tidak berkongsi atau menyebarkan rakaman video berhubung kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

SKMM berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang situasi panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta untuk menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa terlibat.

“SKMM juga akan bekerjasama denga penyedia-penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan.

“Kita memandang serius perkara ini dan sebarang pihak terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas SKMM, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, seramai 49 orang maut dan lebih 20 lagi cedera dalam serangan di dua buah masjid di sini ketika umat Islam bersiap untuk solat Jumaat, lapor CNN.

Dalam kejadian jam 1.40 petang (8.40 pagi waktu Malaysia), dua warga Malaysia tercedera dalam insiden mengejutkan itu, kata Wisma Putra dalam kenyataan petang ini.

Namun, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam serangan di masjid Al-Noor dan Linwood.


Pengarang :