KUALA LUMPUR, 5 Mac — Pemain Hoki Ais Malaysia Nurul Nizam Deen Verluis (tengah) cuba melepasi pertahanan Filipina pada Kejohanan Ice Hockey Challenge Cup Of Asia Malaysia 2019 hari ini. Kedudukan sehingga separuh masa kedua Malaysia 4-5 Filipina. Kejohanan Ice Hockey Challenge Cup Of Asia Malaysia 2019 berlangsung di Malaysia National Ice Skating Stadium (MYNISS) dari 1 hingga 9 Mac ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

Skuad hoki ais harap MSN lulus dana latihan

PETALING JAYA, 6 MAC: Pengurus skuad hoki ais negara, Ir Noor Hisham Yahya, berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dapat meluluskan permohonan dana bagi pasukan menjalani latihan, di luar negara sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2019, di Filipina, pada November ini.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000 untuk membolehkan skuad hoki ais negara menyertai latihan pendedahan dan pertandingan di luar negara memandangkan sebahagian besar pemain sedia ada berusia lingkungan 16 hingga 23 tahun.

“Jadi, mereka perlukan lebih pendedahan dan jika kita tengok di Malaysia, pendedahan kurang serta perlu ke luar negara.

“Sebagai persediaan ke Sukan SEA 2019, kami merancang mengadakan latihan pendedahan sama ada di Jepun atau Korea Selatan, cuma kami sedang berbincang dengan MSN untuk melihat dari segi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Hoki Asia Piala Cabaran Asia Divisyen Utama 2019, di Stadium Ski Ais Malaysia, di Empire City, malam tadi.

Katanya, latihan pendedahan berkenaan sedikit sebanyak dapat mencerahkan peluang skuad hoki ais negara untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa, pada Sukan SEA 2019.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat gangsa dalam acara hoki ais yang dipertandingkan buat julung kalinya, pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Berkongsi pandangan sama adalah jurulatih skuad hoki ais negara, Andy Chang Yew Ming, yang memaklumkan skuad hoki ais negara memerlukan banyak pendedahan di luar negara bagi memberi saingan kepada negara ASEAN lain terutama juara bertahan Sukan SEA, Filipina dan Indonesia.

Beliau berkata, skuad hoki ais negara akan menyertai latihan pendedahan selama sebulan sama ada di Jepun atau Korea Selatan, pada September atau Oktober ini, namun bergantung kepada dana kewangan daripada MSN.

Beliau juga percaya anak didiknya mampu pergi jauh, pada kejohanan berkenaan walaupun tewas 4-7 kepada Filipina, pada aksi ketiga kumpulan A kejohanan tahunan berkenaan, malam tadi.

Pada 1 Mac lalu, Malaysia menewaskan Singapura 6-2, pada aksi pembukaan, namun tewas 5-9 kepada juara bertahan, Mongolia pada aksi kedua, selang dua hari kemudian.

Edisi ke-12 kejohanan berkenaan disertai tujuh negara iaitu Mongolia, Filipina, Singapura, Indonesia, Macau, Oman dan Malaysia selaku tuan rumah. -BERNAMA


Pengarang :