BERITA UTAMASELANGOR

Smart Selangor model pembangunan masa hadapan

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 17 MAC: Misi dan Visi Smart Selangor boleh direalisasikan bukan hanya sebagai model pembangunan masa hadapan di bawah Revolusi Industri 4.0, malah menggalakkan kajian inovasi dan keusahawanan teknologi di rantau ASEAN.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, kemajuan sebenar boleh dicapai jika rakyat dan negeri bersedia menghadapi perubahan mengikut peredaran zaman.

“Dunia semakin maju, kini di bawah Revolusi Industri 4.0, ia sedikit sebanyak berkait dengan inovasi teknologi serta revolusi digital dan Internet Of Things (IOT).

“Dengan kerjasama pelbagai pihak, sama ada pegawai kerajaan, industri, pendidik, pelajar dan masyarakat amnya, kami percaya Selangor berdiri teguh walaupun dihadapkan dengan tekanan globalisasi abad ke 21,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Karvival Jelajah 360 Smart Selangor, di Stadium Sabak Bernam, di sini.

Katanya, pelaksanaan Smart Selangor adalah agenda penting di bawah Kerajaan Negeri bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Justeru, Loy Sian berkata, amat penting untuk rakyat mengenal sendiri dengan lebih baik inisiatif di bawah agenda terbabit dan memahami misi serta visi yang hendak dicapai melalui Smart Selangor.

“Lebih lagi apabila menjelang 2050, 70 peratus masyarakat seluruh dunia akan menduduki kawasan bandar dan kebanyakkan bandar ini akan mempunyai lebih 10 juta penduduk,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, berbaki enam tahun menuju Smart State 2025, Kerajaan Negeri komited untuk mempertingkatkan usaha.

“Bermula dari luar bandar kita adakan program seperti ini. Penerangan sangat penting kepada rakyat, namun sambutan yang ditunjukkan amat menggalakkan,” katanya.

Pelbagai inisiatif melalui projek Smart Selangor dilaksanakan bermula 2015 sehingga kini antaranya WiFi percuma, sistem Intelligent Response Selangor ‘Waze Middleware Web Based System’, Smart Waste Management, Selangor Intelligent Transport System dan Community Opinions On Line.

Selain itu, Smart Selangor Parking yang membolehkan bayaran parkir secara dalam talian, pengurusan aliran trafik, pengurusan analisis video keselamatan, Smart Pasar, pusat data dan Selangor Wide Area Network.


Pengarang :