SELANGOR

SMJF tawar 5,000 peluang kerjaya

OLEH UMIRAH IZRIN

SHAH ALAM, 13 MAC: Selangor Mega Job Fair (SMJF) 2019 menawarkan 5,000 peluang kerjaya di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, dekat sini, Sabtu ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, program itu adalah landasan bagi syarikat yang memerlukan tenaga kerja dalam kalangan warga tempatan memandangkan ia berada dalam tahap kritikal.

“Program ini menyediakan peluang kerjaya sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di Selangor khususnya generasi muda.

“SMJF kini memasuki tahun keempat penganjurannya sejak diperkenalkan pada 2015 bagi melahirkan modal insan yang proaktif,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, SMJF adalah program pertama berskala mega memandangkan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan tahun lalu.

SMJF turut mendapat kerjasama JobsMalaysia, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor dan Kementerian Sumber Manusia.

Selain sesi temuduga terbuka, program itu turut menyediakan aktiviti Klinik Kerjaya, Ceramah Kerjaya dan pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

 


Pengarang :