SELANGOR

SPM 2018: Huffaz cemerlang 11A

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 14 MAC: Seorang pelajar yang menghafaz al-Quran dari Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) menjadi salah seorang pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Peperiksan Malaysia (SPM) 2018, yang diumumkan hari ini.

Muhammad Aleef Dahlan, 18, memperoleh gred A dalam kesemua 11 mata pelajaran, sekali gus menjadikan huffaz itu antara 1,510 calon SPM cemerlang, di Selangor.

Beliau memperolehi keputusan cemerlang tertinggi (A+) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu; Sejarah; Matematik; Pendidikan Al-Quran dan Sunnah; Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab.

Sementara keputusan cemerlang tinggi (A) untuk subjek Biologi; Kimia dan Matematik Tambahan.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, tempoh masa 24 jam sehari yang dikurniakan ALLAH SWT dibahagikan sebaik mungkin untuk membolehkannya mengecapi kejayaan.

“Jika diikutkan, mungkin ada yang menganggap bila masanya hendak menghafal al-Quran dan bila pula waktunya hendak belajar, namun pada saya waktu yang diberikan ALLAH SWT amat mencukupi jika dibahagikan dengan sebaik mungkin.

“Saya juga menggunakan setiap masa lapang untuk mengulang kaji pelajaran dan masa terbaik ialah sebelum tidur setiap malam,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2018, di KISAS.

Muhammad Aleef yang bercita-cita sebagai jurutera turut gembira apabila kedua-dua ibu-bapanya hadir ke majlis berkenaan.

“Terima kasih kepada emak dan ayah yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada saya sehingga mencapai keputusan sebegini, saya amat terharu,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Dahlan Husin, 49, berkata anak-anaknya sentiasa diberi kata kunci iaitu ‘usaha tangga kejayaan’.

“Itulah kata-kata saya kepada mereka, walaupun begitu, sekuat mana kita berusaha, saya juga berpesan kepadanya, arahan ALLAH SWT jangan sesekali kita lupa.

“Jika ada kesusahan atau kesukaran, mengadulah kepada ALLAH SWT,” katanya.


Pengarang :