SELANGOR

SPR terbuka terima aduan kesalahan pilihan raya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil sikap terbuka untuk menerima sebarang laporan berhubung salah laku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ini termasuk mana-mana organisasi termasuk agensi media.

“Bukan sahaja BERSIH 2.0 tetapi kami alukan sesiapa sahaja yang ada maklumat insiden kesalahan pilihan raya boleh buat laporan.

“SPR akan membuat siasatan terhadap laporan yang kami terima,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Rinching di sini, hari ini.

Azhar turut menggesa supaya semua parti bertanding tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Katanya, antara kesalahan itu membabitkan tindakan berkempen selepas jam 12.00 malam hari terakhir kempen dan mendirikan pondok panas bagi meraih undi.

“Jika mendirikan khemah atau pondok untuk tujuan tempat berehat dan makan petugas, tak mengapa tetapi jika untuk meraih undi adalah satu kesalahan,” katanya.


Pengarang :