SELANGOR

SSDU beri ruang pelajari teknologi baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 20 MAC: Amazon Web Selangor (AWS) Academy dan AWS Educate dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bakal menyediakan peluang kepada pelajar negeri itu mempelajari bidang teknologi baharu.

Pengarah Projek dan Pembangunan Perniagaan SSDU, Mazlan Mahadi berkata, ia sekali gus membantu pelajar mendapatkan sijil daripada AWS yang diiktiraf seluruh dunia serta melayakkan mereka bekerja di syarikat gergasi.

“Contohnya, mereka di Australia yang mempunyai sijil ini membolehkan mereka diambil bekerja dengan pendapatan 30 peratus lebih tinggi berbanding yang tidak mempunyai sijil ini.

“Pada peringkat permulaan, kami sedang memperincikan program AWS Educate bagi memberi peluang pelajar mempelajari lebih mendalam kursus berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0.

“Menerusi AWS Academy pula, pelajar mahupun pensyarah boleh mendapatkan akses kepada perisian analisis data serta pembelajaran kecerdasan buatan dan melayakkan mereka memperolehi sijil berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Mazlan berkata, program berkenaan dijangka akan diperkenalkan suku ketiga tahun ini.

“Pada September tahun ini, SSDU juga akan mengadakan hackathon untuk pelajar menunjukkan bakat dengan penggunakan perisian AWS dan pemenang akan diberi peluang ke peringkat ASEAN,” katanya.

Terdahulu, SSDU melakar sejarah apabila dilantik AWS Amerika Syarikat menjadi Organisasi Pembangunan Ekonomi (EDO) AWS pertama di rantau Asia.

Lantikan sebagai EDO itu membolehkan SSDU menyegerakan pembangunan beberapa insiatif utama di bawah program Smart Selangor.

Ia membolehkan kerjasama di antara SSDU dan AWS memperkenalkan program AWS Cloudstart, AWS Educate dan AWS Academy di Selangor.


Pengarang :