Sultan Johor batal dua majlis, tumpu mangsa di Pasir Gudang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Sultan Johor batal dua majlis, tumpu mangsa di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 19 MAC: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menitahkan penganjuran dua acara sempena Hari Keputeraan baginda iaitu Majlis Jamuan Teh serta Majlis Jamuan Negeri dibatalkan.

Sultan Ibrahim, dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office (RPO) menerusi laman Facebook rasmi baginda di sini hari ini bertitah, keputusan tersebut dilakukan demi rakyat kerana sedih melihat ada di antara mereka yang sengsara akibat pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang.

“Ramai yang terjejas kerana pencemaran sisa bahan kimia akibat pihak tidak bertanggungjawab, malah ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi ( ICU) manakala sekolah juga masih ditutup.


“Saya membatalkan dua acara ini oleh sebab tidak mahu berada di majlis yang meriah sedangkan ada rakyat yang masih menghadapi masalah dan masih menderita,” titah Sultan Johor dalam kenyataan itu.

Baginda juga bertitah, dengan pembatalan acara tersebut sekali gus membolehkan petugas-petugas membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

“Sebagaimana kita tahu, ramai petugas yang juga penjawat awam dan juga pasukan keselamatan serta perubatan terbabit dalam operasi pembersihan dan saya amat menghargai komitmen serta dedikasi mereka.

“Oleh demikian, saya berasakan adalah wajar untuk membatalkan acara ini demi rakyat dan pasukan petugas yang bekerja keras tanpa mengira waktu,” titah baginda.

Terdahulu, Majlis Jamuan Teh dijadualkan berlangsung pada 24 Mac ini manakala Majlis Jamuan Negeri pula sepatutnya diadakan pada 25 Mac.

– BERNAMA
– Foto Kredit: Facebook The Royal Johor

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next