BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan rasmi Kompleks SPRM Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan bangunan baharu Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Seksyen 16, di sini, hari ini.

Kompleks bernilai RM41 juta ini mula didirikan pada penghujung Februari 2014 di atas tanah berkeluasan 7.2 ekar dan mampu menempatkan kira-kira 200 pegawai serta kakitangan, diserahkan secara rasmi pada November 2017.

Bangunan yang terdiri daripada enam tingkat blok utama, gedung sita dan blok mekanikal berkenaan direka bentuk menepati keperluan operasi serta sistem pentadbiran SPRM.

Kompleks ini juga dilengkapi dengan kemudahan 12 bilik rakaman percakapan saksi dan tertuduh termasuk tiga bilik dilengkapi alat perakam video canggih yang dikenali sebagai ‘Video Interviewing Room’ (VIR), bilik kawad cam, surau lelaki dan wanita, pusat sumber serta gimnasium.

Turut berkenan berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :