BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor dukacita isu hina Nabi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dukacita melihat ada pihak dari golongan bukan Islam kini secara terbuka menghina keperibadian Nabi Muhammad SAW.

Setiausaha Dewan DiRaja Selangor, Hanafisah Jais berkata, perbuatan menghina Nabi serta isu yang mencemar kesucian agama Islam sering berlaku hingga ke tahap mencabar kesabaran umat Islam.

Katanya, baginda turut mengingatkan kepada rakyat khususnya bukan beragama Islam supaya menghentikan perbuatan mempersendakan keperibadian Rasulullah SAW dan mencemar kesucian Islam kerana ia boleh mengugat keharmonian dan perpaduan selain permusuhan berpanjangan antara kaum serta agama.

“Agama Islam perlu dihormati setiap rakyat di negara ini kerana ia adalah agama Persekutuan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun perbuatan ini adalah kesalahan di bawah undang-undang dan hukuman juga dikenakan kepada pihak terbabit namun ia masih tetap berlaku seolah-oleh tiada kesan terhadap tindakan yang diambil,” katanya dalam kenyataan.

Hanafisah berkata, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri turut menegaskan bahawa memelihara maruah agama dan junjungan Nabi adalah tuntutan utama dalam maqasid syariah sekali gus menjadi tanggungjawab umat Islam mempertahankannya.

“Oleh itu, peringatan baginda perlu diambil serius oleh rakyat keseluruhannya jika inginkan keharmonian dan perpaduan.

“Umat Islam juga perlu sentiasa berwaspada dalam melontarkan sebarang pandangan berkaitan dengan agama lain.

“Malah Allah SWT melarang keras umatnya mencerca sembahan agama lain kerana ia penyebab kepada berlakunya ketidakharmonian hidup dalam masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Ahli Dewan DiRaja negeri menjunjung segala titah baginda dan turut merasa terkesan dengan kekecewaan dilahirkan baginda.

“Penyiasatan terperinci terhadap mereka yang disyaki melakukan kesalahan perlu segera dilaksanakan dan tindakan pendakwaan diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.


Pengarang :