SELANGOR

Sultan Selangor: SPRM perlu bebas tanpa pengaruh luar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya kekal sebagai sebuah badan bebas tanpa dipengaruhi sebarang pihak termasuk ahli politik.

Baginda bertitah, SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa atau dengan kata lain ‘without fear or favour’.

“Pegawai penyiasat SPRM hendaklah diberi kebebasan dengan kuasa yang ada kepada mereka, untuk menjalankan tugas penyiasatan mereka secara profesional tanpa arahan tertentu yang boleh menganggu penyiasatan mereka.

“Dengan jalan ini, SPRM akan dilihat sebagai satu badan yang boleh dipercayai oleh rakyat bagi membenteras gejala rasuah dan sekali gus menepis segala tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM berkaitan ketelusan di dalam menjalankan amanah,” titah baginda ketika merasmikan Kompleks Bangunan Baharu SPRM Negeri Selangor di Seksyen 16,  hari ini.

Titah baginda, SPRM perlu memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat tentang tindakan penguatkuasaan yang diambil kerana baginda sering mendengar aduan dan sungutan orang ramai bahawa terdapat aduan-aduan rasuah yang dibuat tidak diketahui kesudahannya.

“Akhbar banyak melaporkan tentang tangkapan dan tahanan reman dibuat terhadap mereka yang disyaki melakukan amalan rasuah namun kesudahannya samada mereka ini dituduh di mahkamah atau sebaliknya tidak diketahui.

“Persoalan dibangkitkan oleh rakyat adalah samada mereka yang dilapor melakukan rasuah ini adakah benar-benar telah disiasat dan diadili mengikut undang-undang.

“SPRM seharusnya memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat tentang tindakan penguatkuasaan yang dilakukannya dan hasil daripada siasatan yang dibuat juga perlulah sampai ke pengetahuan rakyat secara berkesan.

“Maklumat yang lengkap tentang hasil siasatan ini penting bagi mengelak dari persepsi bahawa sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak tertentu di dalam melaksanakan tugas mereka,” titah baginda.


Pengarang :