BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor ucap takziah kepada keluarga Haziq

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 21 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang warga Malaysia yang terkorban dalam serangan di masjid di Christchurch, New Zealand.

“Beta berasa amat sedih dan dukacita dengan makluman berita bahawa berlakunya kehilangan nyawa membabitkan Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin menyampaikan ucapan takziah dan semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kekuatan kepada keluarga mangsa yang terlibat,” titah baginda.

Dalam kenyataan ringkas di Facebook Selangor Royal Office, baginda turut berdukacita atas kejadian terbabit yang menggemparkan seluruh dunia.

Mohd Haziq, 17, hari ini disahkan menjadi mangsa kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch pada Jumaat lalu oleh pengganas dari Australia yang membenci umat Islam.

Allahyarham antara 50 korban kejadian itu, yang mencederakan puluhan jemaah solat Jumaat, termasuk tiga dari Malaysia, di masjid Al-Noor dan Linwood.

Bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, turut cedera. Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad antara 29 mangsa yang masih dirawat.

Dalam kenyataan sama, baginda mendoakan semua mangsa kembali pulih dan sembuh seperti sedia kala.

“Beta juga berharap tragedi seumpama ini tidak akan berulang lagi dan semoga semua umat Islam di seluruh dunia terus tabah dan bersatu hati,” titah baginda.


Pengarang :