NASIONAL

Tahun Melawat Malaysia 2020 akan dipromosi di ITB Berlin 2019

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Malaysia akan menggunakan kesempatan sebagai negara rakan kongsi rasmi ITB Berlin 2019, pameran perdagangan pelancongan terbesar di dunia untuk meningkatkan promosi tahun ini sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Kenyataan Tourism Malaysia berkata, pameran ITB Berlin 2019 itu akan diadakan di CityCube Berlin bermula 6 hingga 10 Mac dan sebagai negara rakan kongsi rasmi Malaysia akan mempersembahkan pertunjukan kebudayaan berwarna-warni oleh Istana Budaya ketika majlis perasmian pada 5 Mac.

“Pavilion Malaysia di Dewan 26A akan memaparkan seni bina silam Terengganu’” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa selain menjadi tempat bagi pertemuan dan rangkaian kerjasama, persembahan kebudayaan juga akan diadakan di pavilion sepanjang pameran itu berlangsung.

Pengunjung juga boleh merasai pelbagai masakan Malaysia yang enak serta mendapatkan sampel rempah-ratus serta ubat-ubatan herba.

Malaysia akan menghantar delegasi yang besar pada ITB 2019 terdiri daripada lembaga pelancongan negeri, operator pelancongan, pemilik produk pelancongan, pemilik hotel, pengendali syarikat penerbangan, penyedia perkhidmatan pelancongan dan banyak lagi.

Selain itu 136 peserta mewakili 83 pertubuhan dari Malaysia akan turut serta.

Delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Haslina Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) juga akan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan yang berpatutan dan berkualiti, sementara Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan mempromosikan Malaysia sebagai syurga pemerhati burung dan menonjolkan aspek budaya yang unik di negara ini.

Malaysia menyasarkan untuk menerima kedatangan 30 juta pelancong dari seluruh dunia yang berbelanja RM100 bilion.

Jerman adalah pasaran yang kukuh untuk Malaysia terokai,” menurut kenyataan itu.

Tahun lalu, 128,895 pelancong Jerman mengunjungi Malaysia dan menyasarkan kedatangan 147,000 pelancong dari negara itu tahun ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :